Janganlah kita lupa…
Sementara menunggu rencana ini tertulis, terbaca pula tulisan Nat, menguatkan azam untuk sanggup kembali ke alam lokap dan gas pemedih mata semata-mata demi menegakkan maruah rakyat, dan membela keadilan untuk semua. Yang kita minta hanyalah pilihanraya adil dan bebas, tetapi nampaknya jawabnya 4000 orang pegawai polis, sekatan jalan raya di merata bandar raya Kuala Lumpur, serta peronda berkuda, meriam air dan gas pemedih yang begitu tajam rasanya. Walaupun tergugat sedikit juga rasanya, saudara Nat dan teman seperjuangannya tetap tekad untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat berwibawa dengan berarak juga hari ini, walaupun kemungkinan besar akan disekat dan dihumban ke dalam lokap kesemuanya.
Saya ingin sekali melihat rakyat tidak dikekang hari ini; ingin sekali melihat 100 000 rakyat Malaysia berhimpun aman tanpa disekat, dibuli dan dikejami. Tapi tampaknya jalan masuk dan keluar dari Kuala Lumpur sudahpun disekat, dan satu bandaraya penuh dengan polis yang lebih berminat menghentikan perhimpunan aman daripada menangkap penjenayah yang sebenar. Dan sememangnya kerisauan tidak pernah hilang daripada hati, memikirkan nasib mereka yang mungkin dipukul dan ditahan, semata-mata demi meminta pilihanraya adil yang menjadi hak asasi setiap rakyat negara tercinta. Malang sungguh.
Tapi biarpun apa jua terjadi hari ini, biarlah satu janji menjadi sumpah kita semua: kita takkan lupa. Jika pihak polis akhirnya menjadi waras kembali, dan tidak cuba mendera rakyat hari ini, janganlah kita lupakan bahawa rakyat sudah berjaya mencabar mereka yang berkuasa, dan semangat perjuangan berkobar-kobar di dada kita semua. Akan tetapi, jika benar polis akhirnya bertindak kejam juga, maka janganlah kita lupa. Biarlah setiap dentuman meriam air, setiap tembakan gas pemedih, setiap rakyat yang ditahan lokap, semuanya diingati, dan tidak pernah terlupa.
Janganlah kita lupa bahawa tiada alasan bagi perhimpunan ini dikekang. Bahawa undang-undang yang membolehkan perhimpunan aman dihalang sewenang-wenangnya bukanlah undang-undang adil, bukanlah hak asasi namanya. Bahawa mereka yang berarak hari ini, walaupun terpaksa juga melanggar undang-undang negara, bukanlah perusuh perosak negara, tetapi perajurit menuntut keadilan semua. Kita yang masih boleh menulis, masih bebas melihat, mendengar dan bertindak, tidak boleh lupa sejarah yang sebenar. Jika media massa yang semata-mata hamba kuasa itu berdusta sahaja, kebenaran yang kita pegang mesti terguna melawan dusta.
Janganlah kita lupa bahawa hampir sepuluh tahun dahulu, jalanan Kuala Lumpur penuh kedengaran gelombang keadilan bernama Reformasi. Sudah lupakah kita janji-janji murni - bahawa jenayah yang hitam tidak akan terpadam, kerajaan yang zalim akan dipertanggungjawabkan jua, dan kuasa tanpa sekatan akan satu hari tersekat akhirnya. Tetapi rakyat akhirnya lupa, dan sudah sembilan tahun kerajaan penyangak, pencuri dan penzalim dibiarkan sahaja berkuasa tanpa halangan. Kali ini, kita tidak boleh lupa.
Janganlah kita lupa setiap kezaliman, setiap kekejaman, setiap sen yang sudah kehilangan hasil titik peluh pemerkosa negara yang namanya pemimpin. Jangan kita lupakan peluru di Batu Buruk, dan derita rakyat yang terpaksa dibedah peparu tertembak. Jangan kita lupakan PKFZ, dengan 4.6 billion ringgit lesap dari tangan rakyat. Jangan kita lupakan hampir 6 billion ringgit yang dikatakan sudah hilang akibat penyelewengan dalam pembelian bot-bot kita. Jangan kita lupakan video VK Lingam dan Fairuz Abdul Halim, yang begitu senangnya dialih perhatian rakyat, dan diancam KeADILan dan sumber video, bukannya mereka yang didakwa terbuka. Jangan kita lupakan Malik Hussain dan semua pejuang Reformasi yang menderita di tangan polis semasa Reformasi dengan kejamnya dikekang dan ditindas.
Jangan kita lupakan Ops Lalang, dan lebih seratus pemimpin politik dan NGO yang sewenang-wenangnya ditahan di bawah ISA, tanpa sebarang sebab-musabab kukuh. Jangan kita lupakan Kg Berembang, Kg Rimba, dan semua rakyat miskin setinggan yang sudah tertindas di tangan kerajaan yang tiada belas kasihan. Jangan kita lupakan nasib Tun Salleh Abbas, Datuk George Seah, dan Tan Sri Wan Sulaiman, yang disingkirkan semata-mata kerana berani mempertahankan institusi kehakiman kita. Jangan kita lupakan Laporan Ketua Audit Negara yang setiap tahun mesti adanya bukti penyelewengan di merata-rata. Jangan kita lupakan janji kosong untuk menubuhkan IPCMC, dan kerajaan yang lebih rela menggunakan polis untuk mengintip ahli politik daripada menyiasat jenayah.
Saya menunggu berita dari tanah air, walaupun semacam sukar untuk mendapat berita buat masa ini. Tetapi sumpah kita tidak akan dilupakan - kebenaran tentang peristiwa 10 November 2007 tidak akan dilupakan. Marilah kawan-kawan, kita mencari kebenaran, dan menghunus satu-satunya senjata yang dapat menumpaskan dusta. Dan janganlah kita lupa. Janganlah kita lupa.
Comments
Leave a Reply