Halalkah Hukuman Sebelum Perbicaraan?
Cuba kita bayangkan, sekiranya lima orang yang ditahan ISA baru-baru ini memang sah pengganas yang berniat jahat dan merancang untuk menggunakan keganasan untuk mencapai matlamat mereka.
Pada saya, anggapan ini cukup melulu, tetapi demi perbincangan, biar kita menerokai soalan ini sebentar.
Perkataan yang cukup penting dalam ayat pertama adalah ‘memang sah.’
Dalam suatu masyarakat bertamadun dan patuh kepada undang-undang, seseorang mesti dianggap tidak bersalah sehingga dapat dibuktikan bersalah.
Jika memang benar dan disahkan seseorang telah bersalah di sisi undang-undang, memang wajar tindakan diambil. Lima tahanan ISA ini juga tertakluk kepada dasar ini.
Tetapi dari perspektif keadilan dan kesaksamaan undang-undang, soalan yang wajib dijawab adalah: bolehkah mereka disahkan melanggar undang-undang?
Dalam masyarakat bertamadun juga terdapat hanya satu cara untuk mengesahkan jawapan kepada soalan tersebut: perbicaraan di makhamah yang adil.
Di Malaysia, kita ada pelbagai ‘undang-undang,’ termasuk ISA, EO dan sebagainya, yang membolehkan pihak berkuasa menahan rakyat tanpa membuktikan kesalahan mereka dalam makhamah.
Yang amat menggerikan juga adalah peruntukan di mana Menteri Keselamatan Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk menahan seseorang di bawah ISA untuk sepanjang umur tahanan tersebut, dan tindakan beliau tidak boleh dicabar oleh sesiapa pun, termasuk mana-mana hakim.
Maksudnya, dari segi dasarnya, Menteri tersebut mempunyai kuasa yang mutlak untuk menahan sebarang rakyat Malaysia. Menurut undang-undang sekarang, tiada sebarang institusi atau proses yang sebenarnya mampu untuk menghentikan Menteri Keselamatan Dalam Negeri daripada menahan seseorang sepanjang umurnya contohnya kerana beliau tidak suka mukanya.
Tiada sebarang proses telus yang digunakan untuk mengesahkan kesalahan atau ketidaksalahan seorang tahanan ISA. Pada asasnya, tiada kesempatan langsung untuk dipastikan tanpa sebarang ragu-ragu (proven beyond reasonable doubt) kepada orang ramai sama ada tahanan ISA atau EO ini bersalah atau tidak.
Ramai orang cukup marah dengan lima orang yang ditahan ISA ini dan cukup yakin bahawa mereka bersalah atas dakwaan menganggu kententeraman negara. Walaubagaimanapun, kemarahan atau keyakinan ini tiada tempatnya dalam sistem perundangan. Yang penting hanyalah sama ada kesalahan mereka boleh atau tidak boleh dibuktikan dalam sebuah makhamah yang adil.
Sekiranya kita bermula menghukum orang berasaskan emosi atau ‘fakta-fakta’ yang belum dipastikan dan dibuktikan, kita tidak layak lagi memakai label seperti ‘negara berundang-undang,’ ‘demokrasi,’ atau sekadar ‘bertamadun’ pun.
Menghukum mereka yang tidak bersalah cukup besar dosanya dari segi pelbagai agama. Mengikut Hadith, dua dari tiga hakim akan dihukum ke neraka.
Sebelum kita dibawa oleh kemarahan dan emosi, apa salahnya kita mengikut proses undang-undang yang sewajarnya untuk mengelakkan kesilapan yang boleh membawa kepada hukuman yang tidak berasas kepada orang yang tidak bersalah?
Jika polis tiada bukti yang boleh digunakan untuk menahan orang yang disyaki bersalah tanpa menggunakan ISA, ada dua kemungkinan utama: polis tidak cukup berwibawa, ataupun orang tersebut memang tidak bersalah.
Sekiranya terdapat bukti bahawa tahanan tersebut bersalah, maka salah sama sekali ISA digunakan untuk kepentingan politik. Sebaliknya, sesiapa yang disyaki patut didakwa terus di makhamah seperti di negara berundang-undang tulen dan tanpa apa-apa perselindungan di bawah undang-undang zaman penjajah yang dicipta untuk menentang komunis.
Penyokong-penyokong pengunaan ISA diharapkan boleh cuba membayangkan satu hari di mana mereka mungkin ditangkap oleh pihak berkuasa tanpa apa-apa peluang langsung untuk membela diri. Inilah realiti yang dihadapi tahanan ISA sekarang.
Kepercayaan bahawa diri kita tidak mungkin akan dikenakan hukuman seperti ini tidak munasabah dan merupakan senjata paling berkuasa dan berkesan pihak berkuasa. Selagi wujudnya undang-undang yang begitu senang disalahgunakan, tiada satu pun rakyat Malaysia yang boleh dijamin selamat daripadanya.
Comments
Leave a Reply