Perpaduan dan Polarisasi Kaum
Kita mahu perpaduan. Sekolah-sekolah kita patut memupuk perpaduan, bukan menyemai kemusuhan dan memisahkan rakyat kita.
Tentulah kita semua bersetuju dengan azam ini. Tetapi, tanya orang berlainan mengenai situasi sistem pendidikan kita sekarang, dan anda akan mendengar pelbagai pendapat.
Penyokong sekolah jenis kebangsaan menegaskan bahawa sekolah mereka mengajar kesetiaan kepada negara, serta memupuk kehormatan dan kesayangan kepada semua bangsa dan kaum di Malaysia.
Namun, terdapat juga orang yang menegaskan sekolah-sekolah ini menjejaskan masa hadapan negara kita kerana mereka memisahkan masyarakat Malaysia. Sistem pendidikan kita pada masa sekarang mengasingkan kanak-kanak menurut kaum mereka. Hampir semua kanak-kanak Cina menghadiri sekolah kebangsaan jenis Cina. Lebih kurang 80% pelajar India di sekolah rendah menghadiri sekolah kebangsaan jenis Tamil. Dan pelajar Melayu? Hampir semua menghadiri sekolah kebangsaan.
Anda boleh katakan semua sekolah ini terbuka kepada sesiapa pun, tidak kira kaum. Ini benar; segelintir keluarga Melayu dan India menghantar anak mereka ke sekolah Cina. Segelintir keluarga Cina dan India menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan. Tetapi ini tidak mengubah hakikat bahawa kita sudah memupuk polarisasi di sekolah-sekolah kita, dari muda.
Mungkin kita harus menutup semua sekolah jenis kebangsaan dan menukar mereka ke sekolah kebangsaan. Tetapi apa gunanya ini, kalau sekolah kebangsaan masih dilihat sebagai sekolah Melayu? Untuk memastikan sekolah-sekolah kita boleh berkhidmat kepada semua, kita mesti menjadikan mereka sekolah yang betul-betul kebangsaan, dan bukan keMelayuan.
Dan manakala terdapat ramai yang ingin menutup sekolah jenis kebangsaan, orang yang sama ini tidak menyatakan satu perkara pun tentang MRSM dan sekolah asrama yang terbuka kepada pelajar Melayu sahaja. Kenapa?
Sistem pendidikan kita sebenarnya tidak memupuk perpaduan. Ia memupuk polarisasi. Apabila pemuda-pemuda kita masuk universiti, kita tengok mereka dan merungut kerana polarisasi kaum. Tetapi masa sekolah rendah dan menengah, siapa menyokong dasar-dasar pendidikan yang mengasingkan pelajar-pelajar kita mengikut suku kaum? Kalau kita mahu membasmi polarisasi kita mesti dahulu membasmi sistem pendidikan kita yang mengasingkan kanak-kanak kita.
Comments
Leave a Reply